HomeBeritaNajib sambung PhD dalam penjara?

Najib sambung PhD dalam penjara?

 

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai sedang mengikuti kursus pascasiswazah di Penjara Kajang, pusat tahanan beliau menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Menurut sumber, Najib mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi, lapor Malaysiakini.

Inisiatif bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD dilihat selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini bahawa Najib akan dibenarkan melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, tiada kemudahan akses internet dan komputer riba akan disediakan kepada Najib.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memudahkan, seperti untuk dia mengikuti seorang pensyarah,” katanya.

Untuk rekod, Najib kini sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung permohonannya untuk menyemak semula sabitannya berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 28 Februari lalu, panel lima anggota menangguhkan keputusan, dan memaklumkan bahawa pihak terbabit akan dimaklumkan mengenai keputusan mereka selewat-lewatnya pada 31 Mac.

Author

Pilihan Editor