SHAH ALAM: Lebih 7,000 pengunjung hadir memeriahkan konsert Jiwa Kacau yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam.
Konsert yang menggabungkan empat kumpulan muzik popular iaitu Insomniacks, Masdo, Bunkface dan Hujan atas satu pentas nyata membuat para peminat tidak senang duduk.
Tirai dibuka dengan persembahan daripada band indie muda, Insomniacks yang membawa lagu bergenre pop rock seperti Langgar, Igauan Malam, Reminisensi, Sempurna dan Pulang.
Suasana menjadi lebih riuh apabila Kugiran Masdo tampil membuat persembahan dengan lagu-lagunya yang bergenre pop 60-an.
Malah, rata-rata peminat yang hadir turut sama sing along dan melakukan mosh pit saat Kugiran Masdo mendedangkan lagu mereka seperti Janji Manis, Miss Flower, Teruna Dara, Inilah Jalan-Nya, Dinda, Bunga, dan Bercanda Di Malam Indah.
Kemunculan Bunkface bagi persembahan ketiga membuatkan peminat indie khususnya ‘punk rock’ kekal bertenaga apabila lagu Bunk Anthem, Malam Ini Kita Punya, Ekstravaganza, Rentak Laguku, Darah Muda, Panik, Situasi dan Revolusi mula dipersembahkan.
Menutup tirai, stadium semakin gamat dengan kehadiran kumpulan rock popular Hujan yang menampilkan Noh Salleh sebagai vokalis utama.
Hujan menampilkan lagu Obsesi, Mencari Konklusi, Dugaannya, Perindu Kalbu, Kotak Hati, Jiwa Kelajuan, Ahmoi Chantek, Lonely Soldier Boy, Empayarmu dan Aku Skandal.