PETALING JAYA: Pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel, dua minggu lepas.
Rizal atau nama sebenarnya Mohd Rizal Mohd Ghazali, 31, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Bekas pemain bola sepak kebangsaan itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37, dengan memukulnya di bilik sebuah hotel di sini pada 6 pagi, 7 Jun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik wanita itu yang nilai kerugian dianggarkan RM4,500 di lokasi serta pada tarikh dan masa sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM7,000 bagi dua pertuduhan tersebut berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Mohd Rizal memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan terhadapnya.
“Anak guam saya pemain bola sepak serta menanggung ibu bapanya,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pada 8 Jun lepas, media melaporkan pemain bola sepak Liga Super itu ditahan pihak polis selepas dipercayai menyebabkan kecederaan terhadap teman wanitanya. – BERNAMA