HomeHiburan'Bell Ngasri memang hidup untuk kerja sejak kecil' - Isteri

‘Bell Ngasri memang hidup untuk kerja sejak kecil’ – Isteri

CYBERJAYA: Isteri kepada pelakon dan pelawak Bell Ngasri, Nur Farhana Mahamad Fauri baru-baru ini berkongsi sisi lain suaminya.

Menurut Farhana, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri merupakan seorang penggiat seni yang komited dengan kerjanya.

Malah, kemenangan yang diraih Bell di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH) pada Sabtu lalu adalah sebuah rezeki yang di luar jangkaan.

“Saya bersyukur sebab saya benda itu yang dia tak pernah impikan, tak pernah fikir… Saya rasa ini satu pencapaian yang tidak pernah terlintas di kepala. Rezeki di luar jangkaan.

“Saya kenal dia pun bukannya sekejap, sebelum kahwin kita dah kenal lama, dah tengok apa yang dia buat.

“Kita tahu yang dia memang hidup untuk kerja sejak kecil lagi… Jadi saya rasa segala usaha dia selama ini berbaloi. Alhamdulillah,” katanya seperti dilapor Gempak.

Dalam pada itu, Farhana turut mendedahkan sikap Bell ketika bersama keluarga.

Katanya, Bell sangat bertanggungjawab dan tegas dalam mendidik anak-anak.

“Bell sebagai seorang suami dia sebenarnya seorang yang garang terutamanya dengan anak bukan dengan saya.

“Dengan anak dia sangat tegas, saya rasa kalau dia buat kelakar pun anak dia tidak tahu sama ada itu kelakar ke serius.

“Jadi anak-anak memang tidak ambil tahu langsung bapa dia adalah Barkoba ke atau berlakon cerita itu ini ke mereka tidak pernah tahu.

“Jadi bila bapa dia buat lawak dekat rumah, macam tak ada apa-apa, dia lebih kepada serius. Maknanya komunikasi mereka itu lebih kepada bukan benda yang kelakar,” ujarnya.

Terdahulu, Bell dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH 35 yang berlangsung pada Jumaat.

Bell berjaya menewaskan calon favourite lain iaitu Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Ben Amir, Ernie Zakri, Khai Bahar, Meerqeen, Sharifah Rose dan Siti Nordiana.

Author

Pilihan Editor