HomeBeritaPemergian Salahuddin kehilangan besar negara

Pemergian Salahuddin kehilangan besar negara

CYBERJAYA: Pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub merupakan suatu kehilangan besar buat rakyat, rakan-rakan dan negara.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Allahyarham merupakan seorang yang sangat tenang, berdiplomasi dan mudah didekati sepanjang beliau menjadi ahli politik.

“Allahyarham juga merupakan seorang tokoh politik dan abang kepada adik-adik muda di dalam politik.

“Majlis pimpinan negeri Selangor serta seluruh anggota PKR merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan ahli-ahli Parti Amanah Negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Jenazah Salahuddin dibawa ke kediamannya di Jalan Adil Serkat sebelum dibawa ke Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot untuk solat jenazah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong Serkat, Tanjung Piai, Johor.

Jumaat lalu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam selepas mengalami mual serta muntah-muntah.

Allahyarham meninggalkan isterinya, Datin Seri Fatimah Taha dan enam cahaya mata.

 

Author

Pilihan Editor