HomeBeritaPolitikPRN: Guan Eng, Kon Yeow pertahan kerusi di P.Pinang

PRN: Guan Eng, Kon Yeow pertahan kerusi di P.Pinang

CYBERJAYA: DAP mempertaruhkan dua nama besar selaku calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan depan.

Salah seorang daripadanya adalah Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang disandangnya kini.

Guan Eng merangkap Ahli Parlimen Bagan memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih sejak 2008.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut kekal mempertahankan kerusi DUN Padang Kota.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menang bertanding DUN Padang Kota sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersama Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada majlis pengumuman calon DAP PRN Pulau Pinang pada Selasa.

Menurut Anthony, seramai 19 calon termasuk tujuh muka baharu dicalonkan di Pulau Pinang.

Antara tujuh muka baharu yang ditampilkan ialah Phee Syn Tze yang bakal bertanding di DUN Sungai Puyu; Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal); K. Kumaran (Bagan Dalam); S. Sundarajoo (Perai); Joshua Woo Sze Zeng (Pulau Tikus); Wong Yuee Harng (Pangkalan Kota); Connie Tan Hooi Peng (Seri Delima).

Sementara itu, tujuh penyandang digugurkan dalam senarai calon PRN kali ini termasuk lima Exco kerajaan negeri iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) dan P. Ramasamy (Perai).

Turut digugurkan ialah M. Satees (Bagan Dalam) dan Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Manakala 10 penyandang kerusi sama kekal bertanding di kerusi DUN masing-masing pada PRN kali ini.

Mereka terdiri daripada Heng Lee Lee (Berapit); Jason Hng Mooi Lai (Jawi); Zairil Khir Johari (Tanjong Bungah); dan Teh Lai Heng (Komtar).

Turut kekal tersenarai sebagai calon ialah Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat); Liew Siew Khim (Sungai Pinang); Ong Ah Teong (Batu Lanchang); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam).

Daniel Gooi Zie Sen yang sebelum ini menyandang kerusi DUN Pangkalan Kota kali ini akan bertanding di kerusi Padang Lalang.

Manakala Wong Hon Wai pula yang sebelum ini menerajui Parlimen Bukit Bendera akan bertanding di kerusi DUN Paya Terubong.

Dalam majlis sama, Loke turut mengumumkan dua calon DAP yang akan bertanding di Kedah iaitu Teh Swee Leong (Kota Darul Aman) dan Tan Kon Yew (Derga).

Sebelum ini, DAP mengumumkan 15 calon akan dipertaruhkan di Selangor, dan 11 lagi di Negeri Sembilan.

Author

Pilihan Editor