HomeBeritaPolitik'Harap Ras Adiba sertai Bersatu bukan sebab tidak sambung kontrak dua jawatan'

‘Harap Ras Adiba sertai Bersatu bukan sebab tidak sambung kontrak dua jawatan’

 

BEKAS Senator, Datuk Ras Adiba Radzi didakwa pernah meminta bantuan Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, untuk menyambung kontraknya sebagai Senator di Dewan Negara dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Exco Wanita UMNO itu mendedahkan, Ras Adiba meminta beliau ‘berbisik’ kepada bapanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara tersebut.

“Saya telah sampaikan kepada TPM tentang hasrat beliau, tetapi keputusan besar bukan keputusan TPM sendiri dan sesiapa sahaja harus menghormati dan tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran sesiapa,” katanya menerusi hantaran di laman Instagram pada Isnin.

Pada Ahad, Ras Adiba diumum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menerima watikah keahlian parti yang disampaikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

Mengakui terkejut dengan perkara itu, Nurulhidayah berharap keputusan Ras Adibah menyertai Bersatu bukan disebabkan jawatan Senator dan Pengerusi Bernama tidak disambung kerajaan.

Ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2023 lalu, Nurulhidayah selaku Pesuruhjaya badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Sayang (SS), ada mencadangkan nama Ras Adiba sebagai salah seorang Ikon di Majlis Hi-Tea Anugerah SS Wanita UMNO.

Jelasnya, beliau ketika itu yakin untuk membawa kelainan pada anugerah tersebut, dengan mengiktiraf orang luar sebagai pendekatan UMNO bersama rakyat.

Tambahnya, nama Ras Adiba diangkat kerana beliau mengaku sebagai ahli UMNO, selain sudah tiba masanya beliau menghulurkan bantuan dalam aktiviti NGO Wanita UMNO.

“Saya mengaku ada suara-suara tidak senang ketika nama beliau dicadangkan, tetapi saya mempunyai hujah saya tersendiri untuk mengangkat beliau sebagai salah seorang penerima anugerah tersebut.

“Ini kerana penglibatan beliau dalam NGO OKU (Orang Kurang Upaya) yang bakal membantu NGO Wanita UMNO sendiri dalam menyantuni rakyat yang berstatus Orang Kurang Upaya.

“Beliau bersetuju untuk menerima anugerah tersebut. Namun, di luar kawalan dan pengetahuan saya, beliau secara terbuka dan rasminya telah menyertai Bersatu sewaktu majlis jentera PN berlangsung di Seremban semalam (Ahad),” katanya.

Pada masa sama, Nurulhidayah mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas wartawan dan penyampai televisyen tersebut dalam parti baharu yang disertainya.

Ras Adiba mengangkat sumpah sebagai Senator pada 20 Mei 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada 24 November 2020.

 

 

Author

Pilihan Editor