HomeGaya HidupJom MakanKedai kopi bergerak, cetusan idea dua anak muda lahirkan Vanopi

Kedai kopi bergerak, cetusan idea dua anak muda lahirkan Vanopi

HIRUPAN secangkir kopi kini dilihat seolah-olah menjadi satu keperluan dalam kehidupan masyarakat baik di Malaysia mahupun luar negara.

Malah, permintaan yang tinggi membuatkan banyak kedai kopi dengan pelbagai konsep menarik dibuka di negara ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Mungkin seringkali dilihat warung, kedai dan kafe yang menawarkan aneka kopi namun pastinya setiap cawan yang dihidangkan itu mempunyai rasa yang berbeza.

Bercerita tentang perniagaan dalam dunia kopi, Malaysia juga tidak terlepas dengan mengikuti trend ‘mobile coffee’ seperti yang diusahakan dua orang anak muda ini menerusi perniagaan mereka dikenali Vanopi.

Perkenalan antara Muhamad Latiff (kiri) dan Mohd Afza di zaman pengajian membuatkan mereka berkongsi minat yang sama iaitu mahu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Muhamad Latiff Mohammad Ali, 31, berkata, cetusan idea berniaga kopi dalam van itu muncul apabila dia bersama sahabat karibnya, Mohd Afza Ishak, 31, sedar bahawa lebih banyak peluang dan ruang yang boleh diperolehi mereka menerusi ‘kedai bergerak’.

“Vanopi ini mula beroperasi sejak akhir bulan 5 (2023), pada mulanya, kami nak buka kedai kopi tapi tak dapat, so kami ubah idea buat mobile coffee.

Menurut Muhamad Latiff, kualiti secangkir kopi itu boleh dinilai menerusi cara pembancuhannya serta jenis mesin kopi yang digunakan

“Idea buka kedai kopi pakai van ini muncul sebab kami fikir senang nak bergerak. Misalnya tak ramai customer (dekat sesebuah lokasi), kami boleh gerak cari crowd dekat tempat lain pula.

“Dekat Malaysia memang dah ramai buat mobile coffee tapi kebanyakannya guna but (bahagian belakang) jadikan bar, then kru bancuh kopi pun dari luar but.

“Dari situ kami dapat idea, why not jadikan bahagian dalam van tu sendiri tempat nak bancuh kopi, selesa tak selesa nak duduk masa bancuh itu tak penting yang penting, orang suka kopi kita,” kata Muhamad Latiff kepada MEDIA VARIASI.

Pengalaman bekerja hampir 6 tahun sebagai barista di sebuah kedai kopi berjenama terkemuka membuatkan Muhamad Latiff lebih peka dalam menjaga kualiti dan mutu produk Vanopi

Anak kelahiran Serting, Negeri Sembilan itu turut memaklumkan tujuan Vanopi diusahakan adalah untuk memudahkan dia dan rakannya menyertai perniagaan dalam sesebuah majlis dan program yang dianjurkan.

Jelasnya, di Malaysia kini banyak program dan majlis yang dianjurkan pada setiap minggu dan rata-rata daripada anjuran itu memberi ruang untuk para peniaga menjual makanan serta minuman.

“Kami target nak sertai event, sebab dari situ orang boleh kenal Vanopi tambah pula ramai crowd mesti ramai yang suka minum kopi sambil nak chill-chill.

“Tambah pula Vanopi sesuai jadi tempat persinggahan geng rider motosikal, geng gig, jamming, macam port lepak nak santai lepas habis event.

“Buat masa ini, kami join event kecil-kecil ja dulu sebab Vanopi pun baru lagi beroperasi. Kalau hari tak join event, kami bertapak di depan Lotus, Nilai (sebelah Aeon Mall), dari pukul 5 petang sampai 12 tengah malam,” maklumnya.

Suasana santai dengan berkonsepkan elemen ‘Bohemian Kontemporari style’ membuatkan rata-rata penduduk Nilai kini semakin mengenali Vanopi sehingga permintaan kopi di waktu malam pada hujung minggu mendapat sambutan tinggi

Muhamad Latiff yang merupakan bekas barista hampir 6 tahun di sebuah kedai kopi berjenama terkemuka menyatakan, Vanopi menawarkan 9 jenis air minuman merangkumi aneka kopi dan bukan kopi.

Selain aneka kopi, turut ditawarkan hidangan bukan kopi seperti coklat dan matcha
Antara ‘best seller’ di Vanopi – Raspberry Latte

Malah, terdapat empat jenis signature coffee yang menarik untuk dicuba para penggemar kopi jika singgah di Vanopi kerana keempat-empat jenis menu itu dihasilkan berdasarkan eksperimentasi mereka dalam arena kopi.

“Ada empat jenis signature coffee Vanopi tawarkan iaitu Raspberry Latte, Feminist, Black Forest dan Matcha Raspberry.

“Selalunya customer yang gemar Latte berkenan dengan Raspberry Latte sebab diaorang kata kopi ini sedap dan susah nak jumpa dekat Negeri Sembilan.

Basically, resepi signature coffee di Vanopi dibuat berdasarkan ‘try and error’, kita kaji cuba mix flavour sampai dapat rasa yang enak untuk dinikmati,” kongsinya.

Senarai aneka minuman yang ditawarkan di Vanopi

Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad (5 petang -12 tengah malam) // Isnin tutup

Lokasi: Hadapan Lotus Nilai (sebelah Aeon Mall), Negeri Sembilan

*Vanopi hanya beroperasi di hadapan Lotus Nilai pada hari tertentu sahaja kerana mengikuti anjuran program/majlis, bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai lokasi perniagaan Vanopi, sila rujuk di Instagram/TikTok@vanopi.my

Author

Pilihan Editor