HomeGlobalKhuatir virus selesema burung, lebih 330 unggas ditemui mati di pantai Scotland

Khuatir virus selesema burung, lebih 330 unggas ditemui mati di pantai Scotland

RATUSAN ekor burung ditemui mati berselerakan di pantai Aberdeenshire, sekali gus menambahkan kerisauan tentang gelombang selesema burung (H5N1) yang melanda di seluruh Scotland.

Pada Isnin, pekerja tempatan memungut 330 bangkai burung di pantai Stonhaven bagi mengelakkan wabak itu terus merebak.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, beberapa kes wabak itu menular di seluruh timur laut negara itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Baru-baru ini, agensi hidupan liar, NatureScot menemukan kira-kira 200 bangkai burung hantu Sandwic dan burung camar berkepala hitam di Rizab Alam Semula Jadi Negara Forvie dekat Collieston.

Bangkai-bangkai tersebut telah dipungut dan akan diuji untuk mengesahkan sama ia berkait rapat dengan selesema burung.

Jurucakap Majlis Aberdeenshire berkata, pasukannya sudah memantau dengan teliti jumlah kematian dalam populasi burung sejak beberapa hari kebelakangan ini di seluruh wilayah.

“Kami sudah melaksanakan strategi kami untuk mula mengeluarkan bangkai dari pantai kami, dengan kira-kira 330 ekor burung sudah dipungut dari pantai Stonehaven pada Isnin.

“Kami akan berusaha untuk mengeluarkan bangkai burung di kawasan yang mempunyai bilangan kes tinggi. Orang ramai harus sedar bahawa pasti akan lebih banyak burung terdampar ke darat pada setiap air pasang, manakala kawasan pantai mungkin tidak dapat dibersihkan sepenuhnya.

“Risiko untuk dijangkiti selesema burung daripada burung yang mati adalah sangat rendah. Namun, disebabkan penyakit lain seperti Salmonella yang dibawa burung liar, kami menasihatkan untuk berada jauh daripada bangkai burung.

“Jauhkan haiwan peliharaan dan kanak-kanak daripada mana-mana burung yang mati atau sakit, selain jangan sentuh bulu burung liar atau permukaan yang tercemar dengan najis,” katanya.

Sekiranya penduduk tempatan menjumpai unggas seperti angsa, itik atau burung camar yang mati dengan jumlah lima atau lebih, mereka harus membuat laporan kepada pihak berwajib.

Virus  itu  menjangkiti  lebih 22 juta ekor burung dan ayam di seluruh dunia sejak September 2021, meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Bukan sahaja pantas merebak, virus itu  juga membunuh pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Senario tersebut mendorong sesetengah  pakar mengatakan bahawa H5N1  adalah varian selesema burung  paling membawa maut setakat ini.

 

 

Author

Pilihan Editor