HomeGlobalDakwa anak maut akibat vaksin, ibu bapa bakal saman AstraZeneca

Dakwa anak maut akibat vaksin, ibu bapa bakal saman AstraZeneca

IBU bapa kepada seorang wanita yang didakwa meninggal dunia selepas diberi vaksin Covishield, merancang untuk mengambil tindakan saman terhadap pembuat vaksin terbesar di dunia dan firma Farmaseutikal AstraZeneca (AZ).

Langkah itu dibuat selepas firma AZ buat kali pertama mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa, vaksin Covid-19 dihasilkan mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku termasuk pembekuan darah dan kiraan platelet rendah pada manusia.

Vaksin AZ telah dikeluarkan di India oleh Institut Serum India (SII), di bawah nama Covishield dan ditadbir secara meluas di negara itu.

Sementara itu, SII, yang juga pembuat vaksin terbesar di dunia masih belum mengulas mengenai perkara tersebut.

Venugopalan Govindan, yang kehilangan anak perempuannya dikenali sebagai Karunya, 20, ketika 2021 menyifatkan bahawa, pengakuan firma tersebut sudah terlalu lambat dan hanya dibuat selepas ramai nyawa terkorban.

Menerusi hantaran di media sosial, Govindan berkata, SII sepatutnya menghentikan bekalan vaksin selepas 15 negara Eropah telah mengehadkan penggunaannya, ketika terdapat kematian akibat pembekuan darah.

“Sekiranya remedi yang mencukupi tidak diperolehi, kami akan memfailkan kes baharu terhadap mana-mana dan semua pelaku kerana mereka adalah punca kematian anak-anak kami.

“Ini adalah demi keadilan dan untuk mengelakkan berulangnya kekejaman yang dilakukan atas nama kesihatan awam.

“Lapan daripada keluarga mangsa telah berhubung dengan saya dan kami menyuarakan sentimen bersama.

“SII dan Adar Poonawalla (Ketua Eksekutif SII) perlu bertanggungjawab atas nyawa yang terkorban,” tulisnya sambil turut menuding jari terhadap pihak berkuasa kerajaan kerana meluluskan pelancaran vaksin.

Pada masa sama, Govindan dan Rachana Gangu yang kehilangan anak perempuannya, Rithaika, 18, pada 2021 masing-masing memfailkan petisyen writ di Mahkamah Agung untuk memohon pelantikan lembaga perubatan.

Ini bagi menyiasat kes kematian anak mereka dan menyediakan protokol untuk pengesanan awal kesan vaksinasi serta pampasan.

AZ sudah pun menghadapi tuntutan mahkamah di United Kingdom (UK) berhubung dakwaan bahawa, sekurang-kurangnya 51 kes mengaitkan vaksinnya mengakibatkan kematian dan kecederaan teruk dalam beberapa kes.

Ia baru-baru ini mengakui bahawa, vaksinnya boleh menyebabkan ‘kes sangat jarang berlaku’, dan mengakibatkan Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS), yang menyebabkan pembekuan darah dan kiraan platelet darah rendah pada manusia.

Kerajaan UK yang telah menjamin AZ daripada tindakan undang-undang, masih belum campur tangan mengenai perkara itu. – Agensi

Author

Pilihan Editor