CYBERJAYA: Penyanyi, Adira Suhaimi berang dengan mesej biadap seorang lelaki yang menawarkan diri menjalinkan hubungan sulit dengannya.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 32, menerima mesej terbabit di akaun TikTok miliknya.
Katanya, meskipun tindakan itu mungkin sekadar gurauan, namun perbuatan itu melampau dan tidak menghormati statusnya sebagai isteri orang.
“Saya sebenarnya bukanlah jenis orang yang suka melayan benda-benda negatif atau perkara yang tidak mendatangkan duit.
“Saya tak akan layan. Tetapi, mesej yang dihantar ini sangat melampau. Saya boleh dibawa bergurau, tetapi bukan seperti mesej ini.
“Kalau saya nak ada skandal, sejak dahulu saya sudah mencari. Tak payah nak tunggu sampai beranak-pinak begini.
“Tak payah nak ajar saya buat benda mengarut seperti ini,” katanya menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam TikTok.
Jelasnya, tujuannya membuat video itu untuk memberi amaran kepada lelaki sedemikian supaya tidak sewenang-wenangnya menghantar mesej nakal kepadanya.
“Saya buat video ini supaya tidak ada mana-mana ‘jantan’ gila yang berani mengirimkan mesej peribadi seperti itu.
“Selagi duduk di Malaysia, kita ada undang-undang jadi jangan berani. Tolong hormati status saya sebagai isteri orang.
“Selepas ini, kalau ada lagi mesej seperti ini, saya tidak akan teragak-agak membuat laporan polis,” ujarnya.
Menerusi hantaran itu, Adira turut memaparkan mesej dihantar lelaki berkenaan yang antara lain turut meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi.