CYBERJAYA: Selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG), cef selebriti terkenal, Chef Wan memaklumkan dirinya disahkan menghidap kanser limfoma.
Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 65, memaklumkan berita duka itu menerusi hantaran Instagram miliknya, petang Khamis.
“Pada pukul tiga petang tadi, saya menerima diagnosis daripada doktor yang mengesahkan saya menghidap kanser limfoma.
“Saya bakal melakukan imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET) untuk melihat sama ada kanser tersebut telah merebak ke organ-organ lain,” katanya.
Dalam pada itu, Chef Wan memberitahu dia dimaklumkan oleh doktor bahawa dia mempunyai peluang untuk sembuh antara 70 hingga 80 peratus.
Justeru itu, dia perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran untuk jangka masa selama 13 minggu.
“Pada peringkat ini, peluang untuk sembuh biasanya adalah 70 hingga 80 peratus. Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang.
“Saya juga akan menjalani kemoterapi dan memulakan rawatan itu serta merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu.
“Saya akan mula mengalami keguguran rambut selepas ini. Jadi saya sudah bersedia untuk menggayakan rambut palsu seperti Elvis, M. Daud Kilau dan sebagainya pada masa depan,” katanya sambil berseloroh.
Sementara itu, Chef Wan menambah dia menerima takdir dengan hati terbuka biarpun anak perempuannya iaitu Serina tidak dapat menahan air mata selepas mendengar berita duka ini.
“Terima kasih atas semua doa dan ucapan anda. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama… supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan,” katanya.