HomeHiburan'Kurniaku Terindah' - Hadiah terakhir Tony Spider untuk Jinbara

‘Kurniaku Terindah’ – Hadiah terakhir Tony Spider untuk Jinbara

KUMPULAN muzik rock, Jinbara tampil dengan single terbaru berjudul ‘Kurniaku Terindah’ terbitan di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.

Lagu yang dicipta oleh penyanyi tersohor, Datuk M Nasir itu membuktikan bahawa perjalanan muzik Jinbara masih jauh dari pengakhirannya.

Malah, ahli kumpulan Jinbara turut merasakan bahawa “Kurniaku Terindah” adalah pencapaian baru buat mereka.

“Ini suatu kehormatan besar dan rasa bersyukur kerana kami diberikan kepercayaan untuk membawakan lagu hasil ciptaan Dato’ M.Nasir.

“Single baru ini memberikan satu erti apabila kita masih lagi bernafas hingga hari ini, diberikan kesihatan yang baik, maka itulah kurnia terindah dari Maha Esa’,” kata Jinbara.

Mengulas lanjut berhubung penghasilan lagu itu, Jinbara mendedahkan bahawa proses rakaman single telah berjalan dengan lancar sebelum menerima berita duka pemergian bekas pemain bass kumpulan Spider, allahyarham Tony Iskandar pada 30 Jun 2021.

“Allahyarham merupakan pencetus utama dalam penerbitan single ‘Kurniaku Terindah’ ini dan tugas sebagai produser lagu diambil alih oleh Hanafi Spider.

‘’Sewaktu rakaman awal, allahyarham Tony Iskandar sememangnya berhasrat untuk menyiapkan projek lagu baru ini hingga siap.

“Arwah pernah juga berkata, ‘kita bikin kasi jadi’. Namun, Allah S.W.T lebih menyayanginya. Arwah adalah sahabat dunia akhirat ,” kongsinya.

Peminat kini boleh mendengarkan lagu ‘Kurniaku Terindah’ menerusi saluran YouTube Luncai Emas.

Anda juga boleh menikmati audio rasmi di semua platform digital yang tersedia seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan muat turun di Itunes Store.

Untuk rekod, Jinbara sebelum ini menggegar industri muzik tanah air dengan karya popularnya menerusi lagu Kasihnya Laila, Farhana, Cinta Pandai Merdeka dan Patri.

Author

Pilihan Editor