HomeNiagaUsahawanHijrah anjur 15 kelas bantu usahawan luas pasaran di TikTok sehingga November

Hijrah anjur 15 kelas bantu usahawan luas pasaran di TikTok sehingga November

SHAH ALAM: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) merancang untuk menganjurkan 15 kelas strategi pemasaran di TikTok bagi membantu usahawannya bermula Jun sehingga November.

Pengurus kanan operasinya berkata seramai 600 usahawan dijangka menyertai kelas Strategi Super TikTok yang dijalankan dengan kerjasama Kumpulan Peransang Selangor Berhad (KPS).

“Sejumlah RM300,000 disalurkan bagi menjayakan program berlandaskan pendigitilan melibatkan usahawan Hijrah dan program ini adalah sebahagian daripadanya.

“Usahawan dibantu mempromosi produk mereka di pasaran aplikasi TikTok agar mampu meningkatkan jualan sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam perniagaan secara fizikal dan juga atas talian,” kata Shaharuddin Yacob ketika dihubungi.

Menurut beliau, usahawan turut dilatik menghasilkan skrip jualan selain video berkualiti tinggi dalam mempromosikan produk jualan mereka sepanjang dua hari kelas berlangsung.

“Pelbagai teknik lain turut dikongsikan antaranya penetapan database produk dan affiliate serta pengenalan teknik kandungan kreatif.

“Cadangan untuk meneruskan program ini bergantung sekiranya platform TikTok ini masih lagi menjadi trend terkini dalam media sosial,” katanya.

Setakat Januari hingga September tahun lalu, seramai 5,795 usahawan menerima manfaat dari tujuh skim pembiayaan perniagaan bernilai RM92.37 juta yang ditawarkan Hijrah.

Hijrah menyediakan dana untuk membangunkan usahawan menerusi pelbagai skim pembiayaan seperti Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes. – Selangorkini

Authors

Pilihan Editor