HomeBeritaSpeaker Pahang serah notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR

Speaker Pahang serah notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR

CYBERJAYA: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.20 pagi, di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.

Susulan itu, Zamree berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya mengenai notis berkenaan.

“Ibu pejabat SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas minggu ini bagi menetapkan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

SPR perlu mengadakan PRK itu dalam tempoh 60 hari selepas menerima notis bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, penyerahan notis itu menjadi kewajipannya untuk memaklumkan kepada SPR Pahang, berhubung kekosongan kerusi itu susulan kematian Johari.

Khamis lalu, penyandang DUN Pelangai, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.

Allahyarham Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang adalah seorang tokoh korporat berjaya, sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketokohan dan pengalaman luas dimilikinya membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu.

Pada PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Allahyarham Johari menggantikan Tan Sri Adnan Yaakob yang juga bekas Menteri Besar Pahang yang mengumumkan tidak mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada PRU15.

Selain Johari, turut maut dalam tragedi itu ialah juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41; dan pembantu juruterbang Heikal Aras Abdul Azim, 45; serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37; Khairil Azwan Jamaludin, 43; Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.

Dua lagi adalah orang awam iaitu Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32 dan pemandu e-hailing, Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.

Ketika kejadian, pesawat jenis Beechcraft 390 Premier 1 itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.48 petang.

Author

Pilihan Editor