CYBERJAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM menganjurkan program ‘Superhero Alam Sekitar’ di Nur Lembah Pangsun Eco Resort, Hulu Langat, baru-baru ini.
Program yang melibatkan 37 remaja B40 itu bertujuan untuk memupuk minat terhadap ilmu sains biologi sekali gus mengaplikasikan setiap pengetahuan kepada masyarakat setempat.
Pensyarah Kanan Jabatan Biologi, Fakulti Sains UPM, Dr Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata, program tersebut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Belia hari ini perlu faham bahawa sains itu dekat dengan diri kita semua dan ia berkaitan dengan kehidupan sehari-harian manusia.
“Tema Kelab Mahasiswa Biologi UPM iaitu ‘biologi ialah kehidupan, biologi adalah keluarga’ adalah bersesuaian dengan program ini kerana ia bertujuan untuk meningkatkan minat peserta terhadap ilmu sains khususnya biologi melalui aktiviti-aktiviti menarik yang dapat menghubungkan mereka dengan alam sekitar dan komuniti setempat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau turut berharap program sedemikian dapat diteruskan pada tahun-tahun seterusnya supaya kesedaran mengenai alam sekitar dan rasa cinta akan ilmu sains biologi dapat dilahirkan dalam lebih ramai remaja.
“Ia seterusnya dapat mewujudkan pemimpin-pemimpin yang berilmu dan mencintai alam dalam generasi akan datang,” ujarnya.
Program kolaborasi antara Jabatan Biologi UPM bersama dengan Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menarik penyertaan remaja daripada program GENIUS Remaja berusia di antara 13 hingga 19 tahun daripada tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Pantai Ria, PPR Seri Pantai dan PPR Kg. Muhibbah.
Ia turut disertai seramai 48 orang mahasiswa biologi UPM.