HomeSukan'Kalau nak Top 5 kena ada bajet hingga RM25 juta' - Zamsaham...

‘Kalau nak Top 5 kena ada bajet hingga RM25 juta’ – Zamsaham belum temui pembeli ikhlas miliki TRW

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan masih belum ada pembeli yang benar-benar ikhlas dan berani untuk mengambil alih pasukan tersebut.

Norizam atau lebih dikenali Zamsaham berkata, pihaknya masih menunggu mana-mana pihak yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan antara RM700,000 hingga RM1 juta sebulan untuk membeli Kelantan FC atau The Red Warriors (TRW) itu.

“Setahun RM10 juta cukuplah. Kalau nak ‘Top 5′, bajet dalam RM20 juta hingga RM25 juta setahun. Bajet Liga Super adalah berbeza.

“Saya harapkan ada yang berani. Kecil sahaja jumlah duit ini sebenarnya bagi jutawan kosmetik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Jelasnya, beliau tidak terdesak untuk menjual pasukan pantai timur itu kecuali jika ada pihak yang bersungguh-sungguh mahu memilikinya.

Katanya, terdapat juga pihak yang memintanya untuk bersabar dan terus menjadi pemilik pasukan tersebut.

“Malah, ada sekumpulan fans Kelantan FC minta saya keluar dari pasukan itu. Mereka sedih sebab kalah teruk, dan mereka ingat saya happy.

Make it simple. Don’t worry, saya boleh keluar.

“Tetapi, kepada yang nak beli, jangan tanya apa yang bakal anda dapat tapi berapa jumlah wang yang nak kena keluarkan. Anda ada duit? Marilah sit down, Senang ja matematik dia. Silakan,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, Zamsaham dilapor sedia menjual pasukan itu dengan pembeli perlu membayar sekurang-kurangnya modal yang sudah dikeluarkan beliau selama empat musim menguruskan TRW.

Jumlah itu termasuk hutangnya dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berjumlah RM3.8 juta dan individu atau pemilik baharu boleh menyambung tuntutan terhadap persatuan itu.

Sabtu lalu, TRW teruk dibelasah kelab gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 0-10 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia.

Kekalahan memalukan itu sekali gus menyaksikan TRW tersingkir daripada pentas Piala Malaysia musim ini dengan agregat 1-15.

Author

Pilihan Editor