HomeBeritaMahkamah & JenayahLelaki buat ancaman bom di Aeon Mall kena cekup

Lelaki buat ancaman bom di Aeon Mall kena cekup

IPOH: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan selepas dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan palsu ancaman bom di pusat beli-belah Aeon Mall Klebang, dekat Chemor, Ipoh, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki warga tempatan tersebut ditahan pada 9.30 malam di kawasan Tasek.

“Suspek dipercayai bertanggungjawab berdasarkan pengakuan dikumpul dan peranti komunikasi yang digunakan untuk membuat panggilan palsu. Suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun keseksaan dan dengan tertangkapnya suspek kes dianggap selesai.

“Pemeriksaan di seluruh premis tidak menemukan sebarang objek meragukan. Kawasan bangunan disahkan selamat dan semua kakitangan dibenarkan masuk semula pukul 10.30 malam tadi,” katanya.

Pada Rabu, bangunan itu terpaksa dikosongkan dan dihenti operasi selepas pekerja premis menerima panggilan ancaman bom kira-kira 5.30 petang.

Susulan itu, Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dibantu pasukan bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh di bangunan tersebut.

Author

Pilihan Editor