HomeBeritaJabatan Pembangunan Kanak-Kanak lulus 169 jawatan kontrak

Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak lulus 169 jawatan kontrak

KUALA LUMPUR: Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang berkuat kuasa bermula 1 September lalu disifatkan sebagai solusi terbaik, dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa sama, jabatan juga meluluskan pelantikan sebanyak 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred bagi tahun ini.

Katanya, kelulusan itu bagi memperkukuhkan struktur di peringkat ibu pejabat dan seterusnya di daerah serta jajahan.

“Ini bagi memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

“Jabatan itu diyakini berupaya memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nancy berkata, usaha menggerakkan komuniti yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung juga akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

“Kementerian juga menyeru masyarakat untuk terus cakna dalam melindungi kanak-kanak dan laporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019-261 5999 yang beroperasi selama 24 jam,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor