TAPAUfest kini kembali dan akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober 2023 di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak.
Berlatarbelakangkan tasik yang indah dan gunung-ganang, TAPAUfest membawa komuniti indie Asia Tenggara untuk #LepakLenggong bersama artis indie ternama dan berpotensi dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dengan tema #SerumpunBerpesta.
Pengarah Kreatif TAPAUasia Sdn. Bhd, Ahmad Faris berkata, festival kali ini akan memberi perincian lebih mendalam bagi setiap aspek supaya TAPAUfest 2023 kekal meriah.
“Dari taksub cuba nak jadikan festival kita lebih besar dan besar setiap tahun, kita buat keputusan untuk beri lebih perhatian kepada butiran-butiran kecil terutamanya dalam kurasi bagi membawakan komunti indie dan rakyat Lenggong terlibat sama,” katanya dalam kenyataan media.
Dalam pada itu, Ahmad Faris turut memaklumkan TAPAUfest kali ini akan turut menampilkan ramai bakat wanita yang sedang menempa nama.
Antaranya ialah seniman muda, Newruul yang menghasilkan rekaan poster dan ‘merchandise’ rasmi TAPAUfest.
Mengulas lanjut berhubung penyertaan komuniti indie Asia Tenggara, antara yang bakal hadir membuat persembahan ialah kugiran ‘Midwest Emo’, kumpulan reggae dub eksperimental asal Indonesia, Rub Of Rub, duo elektronik, Wobbebong, kugiran legenda dari Singapura, Force Vomit, kugiran dari Thailand, Door Plant, Nadin Amizah dan ramai lagi.
“Persembahan muzik di PENTAS hanya akan bermula pada jam 5 petang bagi memberikan masa kepada pengunjung festival untuk meneroka keajaiban Lenggong yang penuh dengan keindahan alam serta destinasi makan dan minum.
“Pengunjung juga boleh berteduh dari matahari sambil belajar dan berkongsi pengetahuan di BENGKEL atau terokai karya pembikin filem indie di LAYAR yang dikurasi dengan kerjasama Kaki Seni.
“Pengunjung boleh menghilangkan dahaga dan mengisi perut dengan sajian Malaysia terbaik dihidangkan oleh peniaga dari Lenggong dan ‘foodtruck’ dari seluruh Malaysia di WARUNG. Bagi mereka yang suka membeli-belah atau mengumpul rekod, ‘merchandise’ atau karya seni, PASAR menghimpunkan karya artis dan jenama indie sambil dihiburkan oleh DJ di pentas mini,” maklum jurucakap TAPAUfest.
Dalam pada itu, pengunjung juga boleh merasai pengalaman bermalam di Resort Tasik Raban sambil merasai keseronokan TAPAUfest 2023.
“Pengunjung boleh menempah tapak khemah di Santuy Campsite dan sertai sesi unggun api dan persembahan akustik atau buat mereka yang inginkan pengalaman lebih minimal boleh mengikat ‘hammock’ di antara dahan pokok menerusi Outsiders Campout,” maklumnya.
Bagi anda yang berminat, tiket Pre Sale kini boleh dibeli sehingga 6 Oktober 2023 dengan harga: Tiket Solo Daily (1 tiket Hari 1 atau Hari 2) – RM175, Tiket Solo Weekend (1 tiket Hari 1 dan Hari 2) – RM330, Tiket Geng Weekend (4 tiket untuk Hari 1 dan Hari 2) – RM1200.
TAPAUfest 2023 adalah pengalaman festival oleh TAPAUasia dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong, Ipoh Social Club, Verssusika serta rakan rasmi Vans, Yoodo, Batik Air, Era, Gempak dan Syok. TAPAUfest 2023 disokong oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) melalui MyCreative Ventures (MYCV).