HomeBeritaPeranti satelit Starlink akan diperluas ke Sabah, Sarawak

Peranti satelit Starlink akan diperluas ke Sabah, Sarawak

 

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperluas pemasangan peranti satelit Starlink di kawasan luar bandar seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, pihaknya telah menempah 30 peranti berspesifikasi tinggi, di mana 10 daripadanya telah diperoleh.

Menurut beliau, empat daripadanya telah dipasang di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kuala Pilah; Kampung Orang Asli (KOA) Kemensah Gombak dan KOA Tonggang di Tambun Perak serta KOA Sungai Temon di Johor Bahru.

“SKMM sedang mengenal pasti lokasi lain bersesuaian di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang memerlukan capaian internet lebih baik.

“Kami akan bincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk mengenal pasti lokasi sesuai untuk dipasang, semua ini belum dimuktamadkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di Kampung Orang Asli Sungai Temon di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Tambah Nie Ching, langkah pemasangan satelit tersebut akan membantu menyelesaikan masalah capaian internet yang lemah di kawasan-kawasan tertentu seluruh negara.

“Kampung Orang Asli Sungai Temon ini kerap berdepan pencemaran frekuensi kerana berdekatan dengan negara jiran, Singapura. Apabila berada dikawasan ini, talian telefon akan berhubung (connect) dengan rangkaian Singapura secara automatik kerana capaian mereka lebih kuat.

“Dengan adanya kemudahan ini, ia akan menambah baik akses capaian internet kepada penduduk khususnya dalam sektor pembelajaran anak-anak orang asli untuk pendidikan,” katanya. – Kosmo!

 

 

Authors

Pilihan Editor