MEDIA sosial di negara Islam termasuk Pakistan dan Turkiye baru-baru ini kecoh dengan dakwaan bahawa, Amerika Syarikat (AS) membuka perniagaan kasino di sebuah bangunan yang menyerupai masjid.
Lebih teruk, lapor aajenglish.tv, bangunan yang terletak di Chicago itu dinamakan Medinah Temple (kuil Medinah) dan terdapat kalimah tauhid di gerbang pintu masuknya.
Perkataan ‘Laa ilaha illallah’ berulang digunakan sebagai hiasan di sekeliling segi empat tepat pintu masuk utama itu.
Perkara tersebut mendapat respons negatif dan amarah orang ramai yang menganggapnya sebagai cubaan untuk memprovokasi umat Islam.
#امریکی ریاست #شکاگو میں 9 ستمبر کو ایک نئے جوئے خانے کا افتتاح ہوا جس کے مرکزی دروازے پر کلمہ طیبہ لکھا ہوا ہے، امریکہ سمیت #یورپ میں #اسلاموفوبیا تیزی سے کینسر کی طرح پھیل رہا ہے، یہود و ہنود پہلے مسلمانوں کو مذہبی طور اشتعال دلاتے ہیں اور مسلمانوں کے ردعمل پر دہشت گردی کا… pic.twitter.com/9Y2IzAC5HS
— ترکیہ اردو (@TurkiyeUrdu_) September 13, 2023
Namun, sejarah bangunan itu menafikan dakwaan bahawa, pembukaannya merupakan usaha awal untuk menyinggung perasaan orang Islam.
Bangunan tiga tingkat itu dibina pada 1912 dan pada asalnya menempatkan auditorium berhias yang menempatkan kira-kira 4,200 tempat duduk.
Amfiteater gaya Moor itu direka oleh arkitek Huehl dan Schmidt dan digunakan untuk rakaman beberapa simfoni pada 1960-an.
Struktur itu menjadi usang dan hampir dirobohkan pada tahun 2000, manakala ia tidak pernah berfungsi sebagai masjid sepanjang kewujudannya.
Bangunan tersebut diasaskan oleh Shriners, iaitu sebuah kumpulan Freemason.
Kumpulan itu menggunakan tema Timur Tengah dan seperti kebanyakan kumpulan Freemason yang lain, mereka memanggil bangunan yang diasaskan sebagai kuil.
Selepas serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 9 September 2001, Shriners berdepan dengan gangguan selepas disalah anggap sebagai penganut Islam.
Pada 9 September 2023, syarikat kasino terkemuka, Bally’s meluaskan perniagaan kasino secara sementara di bangunan tersebut.