HomeBeritaImigresen tahan warga asing guna niqab mengemis di Bukit Bintang

Imigresen tahan warga asing guna niqab mengemis di Bukit Bintang

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lapan warga asing yang bergiat aktif dalam kegiatan mengemis di sekitar Bukit Bintang, Ahad lalu.

Penahanan lapan individu terdiri seorang lelaki China dan empat wanita iaitu Pakistan (tiga orang) China (seorang) selain kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing seorang warganegara Jordan dan Pakistan dilakukan menerusi satu operasi penguatkuasaan bagi menggempur pengemis warga asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada pukul 6 petang itu dijalankan berikutan aduan awam dan pemantauan JIM ke atas kegiatan mengemis yang melibatkan warga asing di sekitar Bukit Bintang.

Kata beliau, seramai 18 orang Pegawai Imigresen pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguat kuasa Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya terlibat dalam melaksanakan operasi itu.

“Kesemua mereka berumur di antara lapan bulan hingga 78 tahun. Salah seorang warga asing yang diperiksa telah membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan serta cuba untuk melarikan diri apabila pegawai operasi bertindak untuk membantu.

“Selain daripada itu, seorang perempuan warganegara China juga dikesan menyamar sebagai seorang wanita Muslim dengan memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya yang bukan seorang Muslim,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, wanita warga asing lain yang ditahan turut memakai niqab dan menggunakan kanak-kanak bagi meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan wang.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) iaitu tiada dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa.

“Kesemua mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya.

Justeru itu, kata beliau, JIM ini mengingatkan kepada semua pelawat warganegara asing yang berada di negara ini supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan diri ditahan pihak berkuasa.

“Orang ramai juga dipohon supaya terus menyalurkan maklumat tentang kegiatan warga asing yang menyalahi undang-undang negara supaya tindakan yang pantas dan tegas dapat diambil,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor