HomeGlobalLebih 400,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal ketika Israel gempur Gaza -...

Lebih 400,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal ketika Israel gempur Gaza – PBB

KOTA GAZA, Palestin: Lebih 400,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza di tengah-tengah kempen udara besar-besaran Israel, kata pejabat kemanusiaan PBB pada Sabtu.

“Kebanyakan orang tidak mempunyai akses kepada air minuman bersih selepas bekalan melalui rangkaian air dan operasi loji penyahgaraman/pemurnian air terhenti,” kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam satu kenyataan.

“Sebagai langkah terakhir, orang ramai mengambil air payau dari telaga pertanian, mencetuskan kebimbangan serius mengenai penularan penyakit bawaan air,” tambahnya.

Tentera Israel memberi amaran kepada 1.1 juta penduduk di utara Gaza untuk berpindah pada Jumaat “dalam masa 24 jam” dan bergerak ke selatan.

OCHA berkata, puluhan ribu penduduk dianggarkan telah melarikan diri ke selatan berikutan arahan itu.

PBB memberi amaran adalah mustahil bagi penduduk Palestin di Gaza untuk mematuhi arahan untuk meninggalkan utara tanpa “akibat kemanusiaan yang memusnahkan.”

Tentera Israel melancarkan kempen ketenteraan yang berterusan dan kuat terhadap Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan tentera oleh kumpulan Palestin Hamas di wilayah Israel.

Konflik bermula Sabtu lalu apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa – serangan mengejut serampang tiga mata termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, operasi itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan keganasan pendatang haram Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Tindakan balas itu telah diperluaskan kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang telah bergelora di bawah kepungan yang melumpuhkan sejak 2007.

Lebih 3,300 orang telah terbunuh sejak tercetusnya konflik, termasuk 1,900 rakyat Palestin dan 1,400 warga Israel. – Anadolu

Author

Pilihan Editor