HomeGlobalMonyet di Bali 'peras ugut' telefon pelancong, minta 'nego' dengan makanan

Monyet di Bali ‘peras ugut’ telefon pelancong, minta ‘nego’ dengan makanan

BARU-BARU ini, tular sebuah video memaparkan seekor monyet melakukan ‘peras ugut’ dengan mengambil telefon bimbit milik pelancong semata-mata untuk mendapatkan makanan.

Menerusi hantaran di Instagram @balitopholiday, kelihatan monyet terbabit sedang duduk di atas tembok sambil memegang telefon bimbit dipercayai milik pelancong memakai topi seperti di dalam video.

Dalam video yang sama, kelihatan seorang wanita tua dipercayai warga lokal menawarkan sesuatu kepada monyet itu namun ditolak.

Tidak lama selepas itu, warga lokal itu mengeluarkan sebiji buah dari dalam beg nya sebelum diambil dengan rakus oleh monyet terbabit.

Melihatkan monyet tersebut masih memegang erat telefon bimbit, wanita tua itu terpaksa memberikan sebiji buah lagi supaya haiwan itu melepaskan telefon itu.

Difahamkan, insiden ‘peras ugut’ itu berlaku di sebuah Kuil Uluwatu, Bali, Indonesia.

“Jadi ini kisah salah seorang pengunjung Kuil Uluwatu telefon bimbit diambil oleh seekor monyet.

“Kemudian ibu Warlok (warga lokal) itu membantunya mengambil semula telefon bimbit pelancong itu dengan bertukar-tukar buah. 

“Nasib baik monyet nak pusing balik dan jatuhkan handphone ke depan, bukan ke belakang,” kongsinya.

Dalam pada itu, pemilik Instagram itu turut memberi peringatan kepada pelancong yang mempunyai rancangan ke tempat seperti itu untuk berhati-hati dengan barang peibadi.

“Bagi mereka yang ingin atau sedang berkunjung ke tempat ini, anda mesti berhati-hati dengan barang-barang anda. 

“Jika anda datang ke sini dengan membawa pemandu, anda dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan barangan seperti cermin mata, topi, beg, sandal, dan tentunya telefon bimbit anda. 

“Bagi mereka yang datang ke sini secara bebas tanpa pemandu, anda harus membaca amaran dan peraturan yang dipasang di setiap sudut tempat ini. 

“Anda juga boleh menyelidik dahulu tempat-tempat yang anda akan lawati buat kali pertama supaya anda tidak terkejut dengan lokasi tersebut,” tulisnya.

Author

Pilihan Editor