CYBERJAYA: Pertandingan RoboBlitz 2023 yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu kini secara rasmi disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai “Most Participants in a RoboSoccer Competition” atau peserta paling ramai dalam pertandingan bola sepak robotik atau robosoccer.
Perkara itu susulan RoboBlitz 2023 menerima sebanyak 1057 penyertaan terdiri daripada peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO Robotic Academy (JAZRO), Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pencapaian yang diraih RoboBlitz 2023 adalah sesuatu yang melebihi jangkaan.
“RoboBlitz 2023 melebihi jangkaan kami, membawa kegembiraan kepada peserta, ibu bapa, dan guru. Kerjasama kami dengan Pearl Point Shopping Mall adalah luar biasa.
“Sambutan masyarakat amat menggalakkan, dan JAZRO berharap dapat menganjurkan lebih banyak pertandingan serupa pada masa akan datang untuk melibatkan jumlah komuniti yang lebih ramai dalam aktiviti STEM,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pearl Point Shopping Mall dan Pearl Shopping Gallery, Darrell Choy menzahirkan keterujaan kerana dapat bekerjasama bersama JAZRO menjayakan RoboBlitz 2023.
“Kami seronok dapat menganjurkan RoboBlitz 2023 bersama JAZRO. Kami memang teruja kerana dapat menyumbang kepada pembangunan bakat muda dalam bidang STEM,” ujarnya.
RoboBlitz 2023 adalah sebuah pertandingan bola sepak robotik yang mencabar peserta untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol dalam masa yang ditetapkan, mewujudkan pengalaman yang menggembirakan bagi semua yang terlibat.
Malah, acara tiga hari itu direka bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi turut mewujudkan kesedaran mengenai STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di kalangan kanak-kanak sekolah, ibu bapa, dan guru, dan ia dilaksanakan dalam suasana yang bersemangat dan menyeronokkan.
RoboBlitz 2023 turut menyaksikan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM8,800 tajaan Pusat Beli-belah Pearl Point dan majlis penutup RoboBlitz 2023 telah diadakan petang Ahad lalu dan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Turut hadir menyerikan majlis, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Norfadzilah Rosdi dan beberapa wakil daripada Pearl Point Shopping Mall.
Untuk makluman, JAZRO ialah sebuah syarikat pendidikan robotik yang membantu membangunkan bakat digital dalam STEM dengan kandungan yang disusun khas untuk pelajar berumur 5 hingga 17 tahun.