HomeBeritaMayat lelaki ditemui dalam longkang 1.5 meter

Mayat lelaki ditemui dalam longkang 1.5 meter

KAJANG: Mayat seorang lelaki ditemui tergantung pada sebatang pokok dalam longkang kawasan Taman Bukit Mewah, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada orang awam iaitu individu lelaki kira-kira jam 12.24 tengah hari.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ke tempat kejadian dan mendapati mayat lelaki disyaki warga tempatan dalam keadaan tergantung di tebing longkang dengan kedalaman 1.5 meter.

“Mayat terbabit lengkap berpakaian dengan baju lengan pendek putih dan berseluar pendek paras lutut kelabu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Zaid, seramai tujuh anggota serta seorang pegawai bomba Kajang hadir membantu mengangkat mayat keluar dari longkang berkenaan.

“Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Kajang mengesahkan kematian mangsa lebih kurang 1.45 tengah hari.

“Seterusnya, hasil siasatan awal pasukan Forensik PDRM di tempat kejadian dan keadaan mayat mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” ujarnya.

Jelas beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kajang bagi tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat, boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Norihan di talian 019-31602024,” katanya.

Author

Pilihan Editor