HomeBeritaSelangor rancang bina 'trail' 120km dari Hulu Selangor - Hulu Langat

Selangor rancang bina ‘trail’ 120km dari Hulu Selangor – Hulu Langat

CYBERJAYA: Kerajaan negeri Selangor kini dalam perancangan mewujudkan ‘trail’ (laluan) sepanjang 120 kilometer merentasi Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Selangor ke Hulu Langat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu termasuk dalam perancangan menjadikan 26 kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang diisytihar sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor sebagai tarikan pelancong khusus buat penggemar aktiviti lasak seperti mendaki serta merentas hutan.

Bagaimanapun menurutnya, kemasukan orang awam ke kawasan hutan yang diwartakan itu akan dikawal bagi memastikan kualiti biodeversiti terpelihara.

“Menariknya, jalan yang disusun atur oleh Jabatan Perhutanan Selangor sejauh 120km dan kalau itu betul-betul dibuat, ia akan menjadi antara tarikan pelancongan terutama mereka yang sangat rapat aktiviti merentas hutan dan mendaki.

“Itu boleh menjadi produk (pelancongan) pada masa depan, tetapi sudah pasti kena kawal jumlah kemasukannya kerana ia akan memberi impak terus terhadap kualiti hutan, kalau kita benarkan terlalu ramai masuk (hutan) ia akan kurang kawalan kebersihan, penjagaan, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan 108,000 hektar membabitkan 26 kawasan HSK sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor.

Perisytiharan itu sekali gus menjadikan kesemua kawasan HSK di bawah Hutan Taman Negeri dijadikan hutan yang merangkumi aspek-aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.

Author

Pilihan Editor