HomeBerita‘Pastikan tiada diskriminasi terhadap pekerja pasar borong’

‘Pastikan tiada diskriminasi terhadap pekerja pasar borong’

CYBERJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan memastikan tiada diskriminasi yang akan berlaku kepada semua pekerja di pasar-pasar borong.

Menterinya, V. Sivakumar memaklumkan pihaknya ada menerima beberapa aduan mengenai ramai majikan di pasar borong, tidak menjaga pekerja.

“Kami akan memastikan semua pekerja di pasar borong tidak menghadapi sebarang diskriminasi.

“Sebab, saya ada terima beberapa aduan yang mengatakan terdapat ramai majikan di pasar borong, tak menjaga pekerja dan ia menimbulkan banyak masalah,” katanya memetik laporan Kosmo pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Ops Pasar Borong Kuala Lumpur (KL) yang membabitkan pemeriksaan terhadap 480 majikan dengan anggaran 5,000 pekerja tempatan.

Tambahnya, operasi sedemikian bertujuan mengesan pekerja yang tidak diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Malah menurutnya lagi, pihaknya turut menerima aduan majikan di pasar borong tidak membayar gaji pekerja.

“Ia adalah masalah serius dan tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas majikan jika pekerja tidak dapat manfaat berkenaan.

“Saya juga ada terima aduan majikan tak bayar gaji pekerja jadi kita nak pastikan apakah ia benar berlaku atau tidak di pasar borong.

“Saya juga dimaklumkan di Pasar Borong KL sebahagian besar adalah pekerja tempatan seperti disyaratkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan segelintir pekerja asing, mereka ada permit kerja.

“Oleh kerana itu kita juga nak lihat pekerja asing ditempatkan di tempat penginapan yang sesuai di bawah Akta 446 selain nak pastikan majikan bayar gaji minimum sekurangnya RM1,500,” katanya.

Author

Pilihan Editor