HomeGlobalRakyat Palestin dipaksa pindah kongsi pengalaman menakutkan

Rakyat Palestin dipaksa pindah kongsi pengalaman menakutkan

SEHINGGA 900,000 rakyat Palestin memutuskan untuk kekal menetap di utara Gaza pada Selasa, meskipun dikelilingi kereta kebal rejim pengganas Israel yang bersiap sedia melancarkan serangan darat.

Israel menggesa rakyat Palestin untuk melarikan diri ke selatan Gaza dan hanya memberi tempoh empat jam perjalanan, namun rejim Zionis tetap melancarkan serangan di selatan genting itu.

Seorang penduduk Gaza yang menuju ke selatan, Adam Fayez Zeyara berkata: “Ini adalah perjalanan paling berbahaya dalam hidup saya. Kami melihat kereta kebal, kami melihat bahagian tubuh yang reput. Kami melihat kematian.”

Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas bandar Khan Younis dan Rafah.

“Kami orang awam. Israel hanya menunjukkan kekuatan dan kuasa mereka terhadap orang awam, bayi, kanak-kanak dan warga emas,” kata Ahmed Ayesh seperti dilapor Arab News.

Ahmed merupakan salah seorang warga Palestin terselamat daripada runtuhan rumah di Khan Younis, yang menyebabkan 11 orang terkorban.

Sementara itu, kereta kebal milik rejim pengganas Israel ditempatkan di pinggir Gaza bagi melakukan serangan di bandar genting tersebut.

Sejak awal perang pada 7 Oktober lalu, rejim Zionis memaksa rakyat Palestin untuk melakukan perpindahan ke selatan Gaza.

Namun, puluhan ribu rakyat Gaza masih kekal di utara dan kebanyakannya berlindung di hospital atau bangunan milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka yang masih kekal di utara Gaza berdepan dengan kekurangan bekalan air dan makanan, apatah lagi rejim Zionis tetap meneruskan serangan udara di kawasan yang sepatutnya selamat.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam temubual pada Isnin berkata, Israel sedang melawan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang konon disifatkannya sebagai kejam.

“Mereka (Hamas) menggunakan orang awam sebagai perisai manusia. Semasa kami meminta penduduk Palestin meninggalkan zon perang, mereka menghalang dengan senjata,” dakwanya yang cuba memanipulasi keadaan.

Hamas berkata, pejuangnya sudah menyebabkan kerugian dan kerosakan besar terhadap rejim Zionis yang mara melancarkan serangan.

Setakat ini, lebih 10,328 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 4,237 kanak-kanak dan 2,719 wanita, manakala lebih 25,956 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Nyawa rakyat Palestin di Gaza kini tidak hanya terancam, malah rejim Zionis bertindak menyeksa kesihatan mental dan fizikal mereka menerusi sekatan bekalan keperluan asas seperti makanan, air dan elektrik.

 

Author

Pilihan Editor