CYBERJAYA: Seramai 259,668 calon bakal menduduki ujian Amali Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 yang akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember depan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, jumlah itu merangkumi sejumlah 91,908 orang calon mendaftar bagi mata pelajaran Fizik, manakala bagi mata pelajaran Kimia (93,135 orang calon); Biologi (72,841 orang calon) dan Sains Tambahan 1,784 orang calon.
“KPM ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, KPM turut menjamin keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan pada tahap tinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2023 berlangsung.
Justeru, KPM bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
“Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” ujarnya.