HomeBeritaPathfinder 1, kapal udara terbesar di dunia!

Pathfinder 1, kapal udara terbesar di dunia!

KAPAL udara terbesar di dunia, Pathfinder 1 dilaporkan sudah memulakan ujian penerbangan pusingan pertamanya di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Lapor portal Big Think, kapal gergasi berukuran 121.9 meter itu dicipta oleh LTA Research iaitu sebuah sebuah syarikat disokong oleh pengasas bersama Google, Sergey Brin.

Difahamkan, Pathfinder 1 dicipta bagi mengurangkan jejak karbon perjalanan udara dan perkapalan serta digunakan untuk mengangkut kargo, penumpang termasuk memuatkan sejumlah besar bantuan kemanusiaan

Kapal tersebut menggunakan kira-kira 304,800 meter padu helium dan 12 motor elektrik untuk mencapai pelepasan menegak dengan kelajuan sehingga 120 kilometer sejam.

Menurut LTA Research, Pathfinder 1 menggunakan teknologi Pengesanan dan Jarak Cahaya (LiDAR) canggih untuk sentiasa memantau tahap gas yang terkandung dalam kapal udara itu.

“Seluruh bingkai dibalut dengan bahan sintetik yang dipanggil Tedlar yang tahan terhadap sinar ultraungu (UV) dan api.

“Dengan teknologi yang diadaptasi daripada dron, Pathfinder 1 juga sangat mudah untuk terbang dan hanya memerlukan seorang juruterbang pada bila-bila masa menggunakan sistem joystick ‘fly by wire’,” maklumnya.

Sejak diberikan sijil kelayakan udara khas pada September lalu, Pathfinder 1 berjaya menjalankan peringkat pertama ujian penerbangan di Moffet Field, Lapangan Terbang Palo Alto dan sebahagian daripada kawasan di San Francisco Bay.

Untuk rekod, Pathfinder 1 menggunakan helium selamat dan tidak reaktif yang disimpan dalam 13 beg udara yang dianggarkan menelan kos antara AS$250,000 hingga AS$1 juta (RM1.16 hingga RM4.6 juta).

Malah, kapal gergasi ini merupakan kapal udara terbesar pernah dihasilkan selepas Hindenburg yang terbakar pada tahun 1937.

Author

Pilihan Editor