HomeBeritaTol percuma di WCE Seksyen 6 hingga 2 Januari 2024

Tol percuma di WCE Seksyen 6 hingga 2 Januari 2024

CYBERJAYA: Pengguna jalan raya kini boleh menggunakan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) tanpa sebarang caj tol mulai malam ini sehingga 2 Januari 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan itu dibuat susulan pembukaan Seksyen 6 dari persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa, Kuala Selangor, pada Isnin.

“Ini diberikan kepada pengguna yang memasuki lebuh raya WCE Seksyen 6 dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa atau sebaliknya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Lebuhraya WCE Seksyen 6 yang turut dihadiri Pengerusi Lebuhraya WCE, Datuk Ir Hamzah Hasan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jajaran baharu sepanjang 21.8 kilometer itu menghubungkan secara terus pengguna dari Kapar, Klang ke Assam Jawa.

Jelasnya, menerusi laluan itu pengguna dapat menjimatkan masa perjalanan yang mengambil masa 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini.

“Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan lebih baik kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Tambah beliau, pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 6 dijangka memberi kesan positif dalam merancakkan industri pelancongan tempatan.

“Destinasi pelancongan menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan, misalnya kini boleh diakses dengan lebih mudah oleh pengunjung.

Untuk rekod, empat seksyen pertama WCE dibuka sebelum ini pada 2019, melibatkan tiga seksyen di Perak iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Changkat Chermin) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin – Beruas).

Satu seksyen di Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan – Bandar Bukit Raja Utara).

Pengguna dapat menjimatkan masa perjalanan yang mengambil masa 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini // Foto: FB Alexander Nanta Linggi

Author

Pilihan Editor