HomeGlobalBuru Hamas di Turkiye, Israel bakal terima akibat - Erdogan

Buru Hamas di Turkiye, Israel bakal terima akibat – Erdogan

ISRAEL perlu menanggung akibat sekiranya negara haram itu masih meneruskan rancangan untuk menyasarkan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Turkiye.

Amaran itu dikeluarkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika penerbangan pulang dari Qatar pada Selasa.

“Sekiranya mereka berani mengambil langkah sedemikian terhadap Turkiye, mereka perlu ‘membayar harga’ yang tak mampu ditanggung.

“Mereka tidak akan boleh lupa akibatnya yang boleh menjadi sangat serius. Semua orang mengenali kemajuan Turkiye dalam bidang perisikan dan keselamatan di seluruh dunia. Selain itu, kami bukan negara yang baru ditubuhkan,” tegasnya seperti dilapor Press TV.

Sebelum ini, agensi perisikan Israel, Shin Bet mendedahkan bahawa negara haram itu sedang merancang untuk memburu anggota Hamas yang tinggal di luar Palestin.

“Ini termasuk di Tebing Barat, Lubnan, Turkiye dan Qatar.

“Ia akan mengambil masa beberapa tahun, tetapi kami akan berada di sana untuk melaksanakannya.

“Kabinet menetapkan matlamat untuk kami mengalahkan Hamas. Dan kami berazam untuk melakukannya,” kata Ketua Shin Bet, Ronen Bar.

Sejak serangan berterusan rejim pengganas Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu, lebih 16,000 rakyat Palestin terkorban dan majoritinya membabitkan wanita dan kanak-kanak.

Erdogan lantang mengecam serangan berkenaan dan menegaskan bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu akan didakwa melakukan jenayah perang.

Ankara dan Tel Aviv telah memulihkan hubungan diplomatik mereka baru-baru ini, namun perang semasa memburukkan hubungan dua hala.

Author

Pilihan Editor