PENYANYI, Kaka Azraff menuntut syarikat Warner Music Malaysia memberi penjelasan berhubung penamatan kontraknya secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan munasabah.
Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 34, akur dengan keputusan yang telah dibuat label terbabit namun berasa terkilan kerana ianya berlaku secara tiba-tiba pada 1 Disember lalu.
“Sebagai salah seorang artis rakaman dan antara yang paling lama di Warner Music Malaysia, saya percaya, paling kurang saya seharusnya diberikan sebab rasmi mengapa pengurusan label ini memutuskan untuk menamatkan kontrak kami.
“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak ditamatkan kerana percaya rezeki Allah itu luas.
“Tapi kecewa ditamatkan sedemikian rupa dan secara mengejut tanpa ada ruang perbincangan, walaupun tempoh notis diberikan adalah selama 30 hari,” katanya memetik Kosmo.
Menjelaskan mengenai perkongsian tangkap layar yang tular baru-baru ini, penyanyi Bukan Hal Aku memaklumkan dia hanya membalas hantaran menerusi mesej langsung (DM) kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic sekali gus menolak dakwaan kononnya menyebarkan ucapan kebencian.
“Saya bukan antisemitik dan tidak bersifat perkauman seperti yang diuar-uarkan pihak tersebut.
“Saya hanya meluahkan pendapat peribadi terus kepada individu itu, bukan memberikan komen secara terbuka.
“Saya akui, mungkin pilihan kata-kata saya agak keras, tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu (bahkan sehingga kini pun), menyaksikan ketidakadilan dan kekejaman yang berlaku di hadapan mata seisi dunia pada waktu ini.
“Mungkin, saya seharusnya memilih kata-kata yang lebih sopan, saya tidak nafikan hal itu. Tapi saya sudah katakan dan saya tidak ingin memandang ke belakang,” ujarnya.
Terdahulu, kontrak Kaka bersama Warner Music Malaysia didakwa ditamatkan gara-gara kelantangannya mengecam tindakan tidak berperikemanusian dilakukan Israel terhadap Palestin.
Kemelut Kaka bersama label itu tercetus berikutan komennya yang mengecam pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic.
Gara-gara kenyataan tersebut, bukan hanya pensohor terbabit, sebuah laman sosial bawah nama Jew Hate Database turut menyenaraikan nama Kaka sebagai antisemitik.
Difahamkan, kontrak antara penyanyi terbabit dengan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berakhir pada April tahun depan