HomeBeritaIndustri media tempatan rugi hampir RM2 bilion kerana iklan media sosial -Fahmi...

Industri media tempatan rugi hampir RM2 bilion kerana iklan media sosial -Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR: Pemilik organisasi media tempatan dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM2 bilion daripada RM4.5 bilion perbelanjaan iklan tahunan tiga gergasi media sosial iaitu Meta, Google dan TikTok.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perbelanjaan pengiklanan ialah salah satu daripada cabaran serius dan terbesar yang dihadapi media tempatan ketika ini.

“Saya berharap platform media sosial akan mengadakan lebih banyak sesi libat urus dengan organisasi media untuk membantu mereka menggunakan platform media sosial dengan berkesan dan cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam seminar Melangkaui Disinformasi: Ke Arah Penggunaan Media Secara Bertanggungjawab anjuran Kesatuan Eropah (EU) dan Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) hari ini.

Justeru, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia yang bakal digubal tahun hadapan akan turut menyentuh isu ketidakseimbangan hasil pendapatan daripada pengiklanan antara penyedia platform media sosial dan organisasi media di negara ini.

Katanya, perkara itu dalam perhatian beliau ketika ini memandangkan hasil iklan hanya dibayar kepada syarikat penyedia platform media sosial dan bukannya kepada organisasi media.

“Saya lihat perlu ada keseimbangan supaya ada sedikit pulangan kepada syarikat media, ini masih dalam perbincangan dan saya percaya semua pihak boleh dibawa ke meja rundingan supaya satu suasana yang kondusif dapat dilaksana dan direalisasikan.

“Kita boleh aplikasikan tentang bagaimana kita menguruskan isu berkaitan pelaksanaan 5G sebelum ini yang saya berupaya untuk jemput semua syarikat telekomunikasi duduk berbincang dan akhirnya semua setuju, jadi, cara pengurusan itu boleh digunakan dalam ikhtiar selesaikan isu perbelanjaan pengiklanan ini,” katanya. – Utusan

Authors

Pilihan Editor