HomeBeritaMukhriz bukan Penasihat Aman Palestin

Mukhriz bukan Penasihat Aman Palestin

CYBERJAYA: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menegaskan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana wakil rakyat mahupun ahli politik, termasuk Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Jelas pertubuhan itu, Mukhriz tidak pernah dilantik menjadi Penasihat Aman Palestin, seperti dakwaan di ruang pendapat dalam laman sesawang amanpalestin.net.

Tambahnya, ruang pendapat di laman itu disediakan sebagai wadah masyarakat bagi menyuarakan pandangan dan hujah.

Namun, terdapat beberapa pendapat tidak tepat dan bertentangan yang ditulis di ruangan itu sehingga menyebabkan kekeliruan masyarakat.

Terbaharu, khabar angin berlegar-legar di media sosial, dengan mendakwa bahawa Mukhriz merupakan Penasihat Aman Palestin pada ruangan pendapat bertarikh 20 Januari 2013.

“Pendapat tersebut ditulis oleh orang awam yang keliru antara Aman Palestin dan NGO (badan bukan kerajaan) lain yang hampir sama nama organisasi. Petikan pendapat itu juga telah dipadam serta-merta.

“Mukhriz tidak pernah dilantik menjadi Penasihat Aman Palestin. Kami juga memohon maaf kepada beliau atas kekeliruan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Aman Palestin menegaskan, ruang pendapat itu bukan mewakili pendirian rasmi Aman Palestin, sebaliknya pendapat masyarakat semata-mata.

Katanya, ruangan tersebut kini telah ditutup untuk orang awam selepas pembaharuan laman sesawang tersebut.

“Aman Palestin memohon maaf kepada semua pihak atas kekeliruan yang berlaku. Segala kesulitan amat dikesali. Semoga penafian ini membantu memberikan pencerahan kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Mukhriz pada Jumaat dilapor menafikan bahawa, beliau pernah menjadi Penasihat Aman Palestin dan menegaskan tiada sebarang kaitan dengan NGO itu.

Author

Pilihan Editor