HomeGlobalPertikaian dengan Netanyahu, Menteri Pertahanan Israel tidak sertai sidang akhbar - Media...

Pertikaian dengan Netanyahu, Menteri Pertahanan Israel tidak sertai sidang akhbar – Media Israel

BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan sidang akhbar tanpa Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, membayangkan pertikaian jelas antara kedua-dua mereka.

Ditanya mengenai situasi itu, Netanyahu berkata: “Saya mencadangkan kepada menteri pertahanan malam ini untuk mengadakan sidang akhbar bersama, dan dia memutuskan apa yang diputuskannya,” merujuk kepada ketidakhadiran Gallant.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, akhbar Yedioth Ahronoth berkata, terdapat perbezaan antara Netanyahu dan pegawai tertinggi dalam tentera mengenai penilaian dan rancangan mengenai serangan Israel terhadap Gaza.

Netanyahu bagaimanapun cuba memperkecilkan isu itu dengan berkata, “Adalah penting orang ramai mendengar kami.”

Beliau menambah bahawa kepimpinan Israel “bekerja bersama” dalam perang menentang Gaza.

Netanyahu mendakwa pada sidang akhbar bahawa tentera menyerang 400 sasaran Hamas dalam tempoh 24 jam yang lalu di seluruh Genting Gaza dan peperangan “di hadapan kita adalah panjang dan sukar.”

Pada awal Jumaat, tentera Israel meneruskan serangan terhadap Gaza apabila pihak yang berperang gagal memperbaharui jeda kemanusiaan yang berlangsung selama tujuh hari.

Sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin terbunuh dan 652 cedera sejak Jumaat dalam serangan udara Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Lebih 15,000 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, telah terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas.

Kira-kira 1,200 warga Israel juga telah terbunuh, menurut anggaran rasmi. – Anadolu

Author

Pilihan Editor