HomeGlobalPegawai penjara jadi tebusan banduan bebas selepas seminggu

Pegawai penjara jadi tebusan banduan bebas selepas seminggu

SEMUA kakitangan yang menjadi tebusan banduan di penjara Ecuador, dekat Amerika Selatan sejak Isnin minggu lalu sudah pun dibebaskan.

Lapor Daily Mail, ini berikutan operasi tentera mengambil alih semula kawalan pada hujung minggu, menurut agensi penjara SNAI.

Kira-kira 158 pengawal dan 20 kakitangan pentadbiran ditahan di sekurang-kurangnya tujuh penjara.

Perkara itu berlaku ketika negara bergelut dengan krisis keselamatan, yang dicetuskan oleh dasar baharu bertujuan untuk menangani kumpulan pengganas.

Seorang pengawal dilapor meninggal dunia, berikutan konfrontasi dengan banduan di sebuah penjara di wilayah El Oro pada Sabtu.

Pada sebelah petang, Presiden Ecuador, Daniel Noboa secara terbuka mengucapkan tahniah kepada SNAI, pihak polis dan angkatan tentera atas kejayaan membebaskan kakitangan penjara.

Sementara itu, gambar tular memaparkan para banduan yang tidak berbaju berlutut, dengan tangan di atas kepala ketika anggota tentera melakukan kawalan di dalam penjara.

Kini, pihak polis dan tentera bertanggungjawab menjaga ketenteraman di dalam penjara Ecuador.

Dengan berakhirnya krisis tebusan itu, presiden berusia 36 tahun yang berkuasa bulan ini mampu mengawal kumpulan dadah menerusi dasar yang inovatif.

Menurut SNAI, siasatan sedang dilakukan bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab menjadikan kakitangan penjara sebagai tebusan.

Sebelum ini, Noboa menetapkan 22 kumpulan sebagai pengganas, menjadikan mereka sebagai sasaran tentera rasmi.

Pada 7 Januari lalu, penjenayah terkenal dan paling berkuasa di Ecuador, melarikan diri dari penjara.

Sehari selepas itu, Noboa mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan mengarahkan angkatan tentera melakukan kawalan dan sekatan di jalan raya.

Lantaran itu, kumpulan pengganas turut mengisytiharkan perang terhadap kerajaan dan bertindak balas menerusi keganasan, termasuk rampasan studio berita televisyen pada 9 Januari dan serangan ke atas universiti.

Lebih 1,000 orang sudah ditahan sejak keadaan darurat diumumkan, dakwa kerajaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa mengesahkan bahawa, polis dan angkatan tentera terus menjalankan operasi di seluruh negara.

Di Riobamba, kira-kira 39 banduan melarikan diri dari penjara, namun terdapat segelintir daripadanya berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa.

Turut tersebar adalah video memaparkan lelaki bersenjata membakar kenderaan di jalan di Esmeraldas pada Selasa minggu lalu.

Jalan-jalan di Quito dan Guayaquil lengang pada Rabu, dengan banyak perniagaan ditutup.

Malah, sekolah-sekolah turut ditutup menyebabkan kelas diadakan secara maya, manakala penduduk menyifatkan situasi berkenaan seolah-olah kembali kepada keadaan pandemik pada 2020.

Ecuador menyaksikan keganasan meningkat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, apabila kumpulan yang mempunyai kaitan dengan kartel Mexico dan Colombia bersaing untuk mendapatkan kawalan.

Author

Pilihan Editor