HomeBeritaPegawai polis didakwa tolak wanita dari Jambatan P.Pinang disiasat

Pegawai polis didakwa tolak wanita dari Jambatan P.Pinang disiasat

GEORGETOWN: Kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan sedang dibuka membabitkan kesalahan cubaan membunuh, selepas wanita yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Isnin mendakwa ditolak rakan lelakinya yang turut jatuh.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, semakan awal mendapati mangsa lelaki ialah seorang pegawai kanan polis yang berkhidmat di luar kontinjen Pulau Pinang, manakala rakan wanitanya pula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang serta menetap di sini.

Jelas beliau, kedua-duanya selamat dalam insiden itu dan dipercayai berlaku pertengkaran sebelum mereka berhenti di lokasi kejadian.

“Menerusi siasatan awal, mangsa wanita mendakwa dia ditolak oleh lelaki tersebut lalu mangsa jatuh bersama,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam Isnin, seorang wanita berusia 40 tahun dan seorang lelaki berusia 37 tahun dilaporkan terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.8.

Pada masa sama, seorang orang awam yang berada di lokasi kejadian terus terjun untuk menyelamatkan mereka, manakala ketiga-tiga mereka telah diselamatkan serta dibawa oleh nelayan ke jeti pasukan polis marin di Batu Uban seterusnya di hantar ke hospital.

Menurut Kok Chin, setakat ni polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.

Beliau berkata, siasatan akan diteruskan dengan mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi lain.

Katanya, mangsa lelaki masih dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan di kepala dan rakaman percakapan mangsa lelaki itu juga akan diambil.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, berdasarkan siasatan, pegawai kanan polis itu mempunyai satu kes jenayah yang masih dalam siasatan iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul, dalam kejadian di daerah Timur Laut, di sini baru-baru ini.

“Kita akan dapatkan pengesahan dahulu daripada saksi-saksi lain (berkaitan dakwaan bertengkar dan ditolak), selepas itu baru kita putuskan sama ada mangsa lelaki akan direman atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kedua-duanya adalah pasangan kekasih, Kok Chin berkata, perkara itu masih dalam siasatan lanjut.

“Mereka adalah rakan lelaki dan wanita, itu sahaja yang boleh saya cakap di sini,” katanya.

Author

Pilihan Editor