HomeGlobalTak tahan sewa bilik terlalu mahal, lelaki sanggup tinggal dalam kereta

Tak tahan sewa bilik terlalu mahal, lelaki sanggup tinggal dalam kereta

SEORANG lelaki yang memutuskan untuk tinggal di dalam keretanya sejak tiga bulan lalu, membuktikan bahawa kenaikan harga sewa rumah di bandar-bandar utama China menjadi beban kepada orang ramai yang bekerja di negara itu.

Wang Hong, yang berusia dalam lingkungan 30-an dan menghasilkan pendapatan lumayan berkata, dia tidak mahu gajinya dihabiskan untuk menyara keluarga tuan rumah.

Lapor South China Morning Post, sebelum tinggal di dalam kenderaannya, Hong membayar sebanyak 3,000 (RM1,962) sebulan bagi menyewa sebuah bilik di Shanghai.

Selepas kontrak sewa tamat pada September lalu, dia tidak mencari rumah lain sebaliknya menukar kenderaan kecilnya menjadi sebuah kediaman.

Hong memberitahu, kenderaannya memenuhi 99 peratus keperluan harian termasuk menjaga suhu panas ketika musim sejuk.

Dia juga membeli bateri mudah alih untuk menyalakan cahaya dan haba, cadar untuk tidur dan dapur memasak mudah alih.

Pada masa sama, dia juga membeli alat pengudaraan kecil untuk meningkatkan kualiti udara di rumah sementaranya.

Katanya lagi, dia meletakkan keretanya di jalan yang tidak digunakan di kawasan pinggir bandar bagi menjimatkan bayaran parkir, serta langsung tidak memesan penghantaran makanan kerana tidak mempunyai alamat sepatutnya.

Dari segi kebersihan diri, Hong berkata, dia memasang khemah di sebelah keretanya dan berlari beberapa kilometer sebelum mandi menggunakan pam elektrik.

Tambahnya, langkah itu bukan sahaja menjimatkan wang, malah meningkatkan kebersihan dirinya.

Dia menganggarkan sudah menjimatkan lebih daripada 10,000 yuan (RM6,540) hasil daripada kehidupan baharunya.

Malah, dia juga mempunyai alternatif untuk perjalanan lebih singkat ke tempat kerja, disebabkan kenderaannya diletak berdekatan dengan pejabat.

Menurut media antarabangsa, sewa bilik bersaiz sederhana di tingkat pertama sebuah apartment di China adalah antara 2,200 yuan (RM1,438) hingga 4,000 yuan (RM2,616) sebulan.

Sementara itu, median gaji bulanan untuk pekerja yang tinggal di tingkat pertama apartment adalah antara 10,000 yuan (RM6,540) dan 11,000 yuan (RM7,194), menurut data terkini platform pekerjaan, China Zhilian Zhaopin.

 

 

Author

Pilihan Editor