HomeBeritaISMA nafi kendali Aman Palestin

ISMA nafi kendali Aman Palestin

CYBERJAYA: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) tidak pernah dan pada bila-bila masa mengendalikan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), yang kini sedang berdepan dengan pertuduhan mahkamah.

Setiausaha Agung ISMA, Muhammad ‘Izzat Husman berkata, pihaknya mendapati terdapat cubaan mengaitkan pertubuhan itu dengan kes pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Aman Palestin.

Beliau berkata, individu dan kumpulan terbabit bertindak mengeluarkan kenyataan dan infografik media serta mendakwa bahawa Aman Palestin dimiliki dan dikendalikan oleh ISMA.

“ISMA ingin menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut dan menyelar tindakan pihak-pihak berkenaan sebagai tidak telus dan berniat jahat bagi menjatuhkan kredibiliti ISMA,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Kenyataan media ISMA yang dikeluarkan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Muhammad ‘Izzat memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengaitkan ISMA secara langsung atau tidak langsung dengan kes mahkamah yang sedang dalam perbicaraan

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan guaman bersesuaian
sekiranya pihak berkenaan tidak menarik semula kenyataan, artikel, tulisan atau infografik di media sosial yang telah disebarkan pada kadar segera.

“ISMA ingin mengingatkan semua pihak agar berhenti daripada menyebarkan fitnah jahat ke atas pertubuhan ini dan menyerahkan urusan kes kepada pihak mahkamah untuk dibicarakan secara adil dan saksama,” ujarnya.

Terdahulu, pendakwaan kes pecah amanah, tipu dan ubah wang haram berjumlah RM39.5 juta yang dikaitkan dengan Aman Palestin mencuri tumpuan, susulan keseluruhan 164 pertuduhan yang dihadapi tiga tertuduh.

Selain Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, 52, turut didakwa pada Khamis adalah pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Author

Pilihan Editor