HomeTeknologiJualan kereta elektrik perlahan, Mr Bean pula dipersalahkan

Jualan kereta elektrik perlahan, Mr Bean pula dipersalahkan

 

BADAN alam sekitar yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Green Alliance telah menuduh pelakon dan pelawak Rowan Atkinson yang popular dengan watak Mr Bean, sebagai penghalang berprofil tinggi kepada usaha kerajaan untuk menghentikan kenderaan yang menggunakan bahan api fosil secara berperingkat menjelang 2035.

Berucap di Dewan Pertuanan pada Selasa, seorang wakil kumpulan mendakwa bahawa ulasan yang ditulis oleh Atkinson dalam akhbar Guardian pada Jun 2023 adalah antara artikel yang paling menjejaskan penggunaan kenderaan elektrik (EV) oleh orang ramai, lapor RT.

Dalam tulisannya, Atkinson, yang juga seorang wartawan permotoran sambilan yang menganggap dirinya peminat tegar kereta dan pengguna awal EV, menyatakan bahawa walaupun dia menikmati kereta hibrid dan elektrik sepenuhnya – walaupun ianya ‘agak tidak berjiwa’ – dia semakin rasa tertipu berhubung dakwaan bahawa EV adalah ‘penawar untuk alam sekitar’.

Pelakon itu mengkritik penggunaan bateri litium-ion dalam EV, memetik penyelidikan yang mencadangkan bahawa pelepasan gas rumah hijau semasa pengeluaran kereta elektrik adalah 70 peratus lebih tinggi berbanding kenderaan petrol. Penyebab utama, kata Atkinson, adalah bateri yang beratnya tidak masuk akal, yang dianggarkan hanya bertahan sehingga 10 tahun.

“Ia perkakasan yang salah untuk memimpin perjuangan melawan krisis iklim,” tulisnya.

Atkinson berkata, penyelesaian kepada krisis iklim boleh dicapai tanpa perlu membeli EV. Pemandu digalakkan menggunakan kereta mereka lebih lama, bukannya menukar kereta setiap tiga tahun. Dia juga mencadangkan supaya meneroka cara untuk meningkatkan penggunaan bahan api sintetik yang lebih bersih.

“Saya rasa bulan madu dengan kereta elektrik akan berakhir, dan itu bukan perkara yang buruk,” pelakon itu membuat kesimpulan.

Dalam suratnya kepada jawatankuasa alam sekitar dan perubahan iklim Dewan Pertuanan, Green Alliance menegaskan bahawa pandangan Atkinson mengelirukan dan menyatakan bahawa kebimbangannya mengenai EV telah dijelaskan sepenuhnya.

Isu lain yang menghalang penghapusan kenderaan enjin pembakaran secara berperingkat termasuk infrastruktur pengecasan yang tidak mencukupi, harga tinggi bagi EV baharu berbanding kenderaan petrol dan diesel, dan kekurangan mesej jangka panjang yang jelas daripada kerajaan.

Author

Pilihan Editor