HomeGlobalKecewa dengan bapa, kanak-kanak bawa diri cari ibu

Kecewa dengan bapa, kanak-kanak bawa diri cari ibu

SEORANG kanak-kanak lelaki nekad melarikan diri dari rumahnya, selepas kecewa dimarahi bapanya yang tidak berpuas hati terhadap prestasi akademiknya.

Lapor South China Morning Post, kanak-kanak tersebut yang hanya berbaju tidur biru kemudian bertindak menaiki kereta api untuk mencari ibunya yang tinggal di bandar berbeza.

Namun, pegawai polis yang sedang bertugas di stesen kereta api di Nanjing, dekat wilayah Jiangsu, China terserempak dengan kanak-kanak itu ketika keluar dari pengangkutan awam tersebut pada petang 18 Februari lalu.

Kanak-kanak yang tidak didedahkan umurnya itu kemudian dibawa ke balai polis tempatan dan mendakwa bahawa dia tidak mengingati nombor telefon ibu bapanya.

Seorang pegawai polis, Liu Yunchao pada mulanya menyangka kanak-kanak tersebut berkelakuan aneh dan cuba mengelak soalan mereka.

Pegawai polis itu kemudian membelikan makanan buat kanak-kanak tersebut dan cuba menghiburkannya.

Selepas beberapa lama mengadakan perbualan, kanak-kanak tersebut kemudian terbuka hati untuk mendedahkan alasan dia melarikan diri dari rumah.

Dedah kanak-kanak itu, nama keluarganya adalah Zhou, manakala dia belajar di sebuah sekolah menengah.

Katanya, meskipun dia mencapai markah tertinggi di sekolahnya, namun bapanya menetapkan standard pelajaran yang lebih tinggi dan melaksanakan peraturan ketat.

Kanak-kanak itu berselisih faham dengan bapanya pada hari dia meninggalkan rumah dan menaiki kereta api untuk mencari ibunya yang bekerja di Lishui dekat wilayah Zhejiang.

Ketika pihak polis menghubungi bapa kanak-kanak terbabit, dia meluahkan rasa marah dan enggan menjemput anaknya.

Bapanya berharap agar tindakan itu dapat memberi pengajaran kepada kanak-kanak tersebut, namun dia akhirnya mengalah dan menjemput anaknya di balai polis.

“Keselamatan diri adalah satu keutamaan. Bagaimana jika dia berdepan dengan bahaya? Prestasi akademik langsung tidak akan membantu,” kata Yunchao kepada bapa kanak-kanak itu.

Januari lalu, seorang kanak-kanak yang mengalami tekanan perasaan membuat laporan di balai polis dekat wilayah Shaanxi, selepas ibu bapanya memaksa kanak-kanak berkenaan menghadiri kelas persendirian pada setiap hujung minggu.

Kanak-kanak itu berharap agar tindakannya itu akan mendorong pihak berkuasa untuk melarang sebarang aktiviti pembelajaran selepas tamat sesi persekolahan.

 

 

Author

Pilihan Editor