HomeBeritaMahkamah & Jenayah'Tidak tahu selok-belok jalan' punca lelaki memandu lawan arus - Polis

‘Tidak tahu selok-belok jalan’ punca lelaki memandu lawan arus – Polis

JOHOR: Tular di media sosial rakaman dashcam memaparkan sebuah kereta jenis Myvi dipandu melawan arus di Lebuhraya Linkedua, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9:15 malam Ahad.

Beliau berkata, satu pasukan daripada BSPTD telah dihantar untuk membuat tangkapan ke atas pemandu kereta tersebut.

Suspek yang berumur 74 tahun berasal dari Segamat, Johor itu telah dibawa ke BSPTD Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek berumur 74 tahun itu baru pertama kali datang ke Johor Bahru. Semasa kejadian suspek dalam perjalanan ke rumah rakannya di Nusa, Bayu, Gelang Patah.

“Suspek tidak tahu selok-belok jalan di Johor Bahru dan telah masuk ke jalan yang salah sehingga melawan arus seperti mana di dalam video yang tular di media sosial Facebook,” ulasnya lagi.

Susulan kejadian itu, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Author

Pilihan Editor