HomePendidikanMARA sasar graduan TVET peroleh gaji premium

MARA sasar graduan TVET peroleh gaji premium

CYBERJAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mensasarkan graduan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bakal memperoleh gaji premium.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diyakini susulan kadar kebolehpasaran graduan TVET melebihi 97 peratus.

“Daripada 344 institusi pendidikan di bawah MARA, 270 memfokuskan bidang TVET.

“Dengan kadar kebolehpasaran melebihi 97 peratus, MARA akan pastikan graduan TVET masa depan peroleh gaji premium,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kerajaan berhasrat menghantar pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di China selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan itu adalah sebahagian inisiatif kerajaan dalam memperkasa TVET negara selepas berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengambil jurusan itu di Jepun dan Korea Selatan.

“Selain Jepun dan Korea Selatan, saya yakin hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah untuk melihat juga penghantaran pelajar Malaysia ke China bagi mempelajari beberapa bidang ilmu berteknologi tinggi.

“Dasar Pandang Ke Timur 1.0 tidak memasukkan China sedangkan mereka sama maju kalau tidak pun lebih dari Jepun dan Korea Selatan,” katanya.

Author

Pilihan Editor