HomeBeritaDakwa PADU digodam: Rafizi ucap 'terima kasih' kepada forum dalam talian

Dakwa PADU digodam: Rafizi ucap ‘terima kasih’ kepada forum dalam talian

 

PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur sebuah forum dalam talian kerana menyebarkan maklumat salah apabila mendakwa sistem Pangkalan Data Pusat (PADU) digodam.

Semalam, Lowyat.net melaporkan bahawa ‘Padu’ serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, digodam kumpulan dikenali sebagai R00TK1T.

Menurut forum dalam talian itu, penggodam mendakwa mencuri data daripada PADU dan turut mendakwa kumpulan berkenaan menceroboh infrastruktur keselamatan LPPKN dan mencuri data bernilai lebih 27GB daripada pelayannya.

Lowyat.net kemudian menjelaskan bahawa PADU yang dikatakan digodam R00TK1T merujuk kepada Unit Pengurusan dan Penyampaian Perkhidmatan LPPKN, lapor portal FMT.

“Terima kasih Lowyat.net kerana tidak menyemak fakta terlebih dulu.

“Sekurang-kurangnya anda patut hubungi @paduofficial_ untuk pengesahan,” kata Rafizi dalam catatan di X.

PADU dilancarkan pada 2 Januari dengan sasaran untuk memastikan penyampaian berkesan subsidi bersasar.

Rafizi sebelum ini berkata, pasukan yang membangunkan sistem itu telah meneliti keselamatan data, termasuk pengalaman pengguna.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu FMT, pihaknya sedang menyiasat dakwaan R00TK1T.

 

Author

Pilihan Editor