PENEROKA haram Israel memusnahkan 450 pokok zaitun dan anak pokok badam di kampung Deir Sharaf, barat Nablus pada Khamis.
Di barat Baitulmaqdis pula, tentera dan peneroka haram Israel juga memusnahkan kira-kira 300 pokok anggur di kampung Battir pada hari sama, lapor The Palestien Chronicle.
Pemilik tanah di Deir Sharaf, Ghazi Antri berkata, dia terkejut apabila melihat 450 pokok zaitun dan anak pokok badam dimusnahkan oleh peneroka haram Israel yang menduduki kawasan penempatan haram Shafi Shomron, bersebelahan tanahnya.
Antri memberitahu agensi berita WAFA bahawa dia menanam lebih kurang 250 pokok sejak bermula serangan Israel ke atas Genting Gaza, sebagai tambahan kepada 200 pokok yang ditanam sebelumnya di tanah itu.
Kata Antri, peneroka haram mengambil kesempatan daripada suhu yang semakin sejuk beberapa hari sebelum itu untuk memusnahkan anak pokoknya.
Dia yang sangat kecewa dengan kejadian itu berkata, itu adalah kali keempat peneroka haram memusnahkan tanamannya dalam masa dua tahun.
Sumber tempatan melaporkan tentera pendudukan bersama peneroka haram bersenjata, menyerbu kawasan Al-Hanjaliyah Al-Qusayri, di timur kampung Battir, memusnahkan kawasan pertanian yang dimiliki oleh penduduk tempatan, Ibrahim Khalil Abu Nimah.
Saksi memberitahu WAFA bahawa pasukan pendudukan menutup jalan di antara Battir dan Husan.
Mereka kemudiannya memusnahkan 300 pokok anggur kepunyaan petani Palestin.