HomeGlobal'Chai' panas Dolly tarik perhatian Bill Gates

‘Chai’ panas Dolly tarik perhatian Bill Gates

SEORANG penjual teh di India menjadi sensasi selepas ‘chai’ panasnya mendapat perhatian pengasas Microsoft, jutawan Amerika dan dermawan, Bill Gates.

Dolly Patil, 30, yang mengusahakan gerai teh Dolly ki Tapri di tepi jalan di Nagpur, di negeri barat Maharashtra, mempunyai pengikut yang ramai di bandar kerana gayanya yang gila-gila dan kemahiran membuat teh yang unik.

“Ketika saya memberinya teh itu, dia berkata: ‘Wah! Teh yang baik, Dolly’.

“Dia sangat baik dan merendah diri,” Dolly memberitahu The National.

Pertemuan itu berlaku pada 27 Februari apabila Dolly dijemput untuk membuat teh untuk beberapa orang asing di bandar Hyderabad, di negeri selatan Telangana.

Dolly langsung tidak tahu identiti orang asing yang berdiri di sebelahnya sepanjang proses membuat teh, sehingga Gates berkongsi videonya di media sosial sehari kemudian.

“Di India, anda boleh menemui inovasi di mana-mana sahaja anda lihat – walaupun dalam penyediaan secawan teh yang ringkas!” Gates menulis dengan rakaman dia tersenyum dan tertarik melihat proses penyediaan teh itu.

“Saya dipanggil ke Hyderabad untuk membuat teh untuk tujuh atau lapan warga asing. Saya mula membuat teh dan seorang lelaki berdiri di sebelah saya. Saya tidak tahu siapa dia.

“Hanya selepas saya pulang ke rumah, rakan-rakan saya menelefon dan bertanya sama ada saya tahu kepada siapa saya menghidangkan teh. Saya tidak tahu dan mereka berkata dia adalah Bill Gates. Mereka berkata dia orang besar.

“Saya tidak tahu siapa Bill Gates!” kata Dolly.

Dolly menjual masala chai ringkas di gerainya.

“Ia adalah ramuan daun teh, susu, buah pelaga dan halia yang ditumbuk. Tiada yang istimewa kecuali cara saya membuatnya,” katanya.

Menurutnya, gaya dan telatahnya – yang diilhamkan oleh superstar Rajnikant – yang menarik perhatian pelanggan.

Bertubuh kurus, dengan rambut panjang yang diwarnakan merah muda, Dolly sering memakai cermin mata kuning dan tersenyum lebar.

Dia menuang peket susu terus ke dalam periuk dan mengocok cawan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan.

“Saya diilhamkan oleh pawagam India selatan dan Rajnikant serta mencampurkan gayanya dengan gaya saya.

“Saya suka cara dia memakai cermin mata hitam atau menyalakan rokok atau berjalan. Saya tiru gaya dia,” katanya.

Dolly menggunakan kira-kira 30 liter susu untuk membuat teh dan memperoleh untung kira-kira 3,000 rupee (AS$36).

Dia juga berkongsi video pembuatan tehnya dalam talian kepada lebih 90,000 pengikut.

Tetapi, di sebalik popularitinya, dia tidak bercadang untuk mengembangkan perniagaannya lebih daripada gerai kecil itu.

Satu-satunya impiannya ialah menghidangkan teh kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.

 

Author

Pilihan Editor