HomeBeritaPremis sembelihan ayam kotor diserbu DBKL

Premis sembelihan ayam kotor diserbu DBKL

KUALA LUMPUR: Kotor lagi menjijikkan, itu yang dapat digambarkan tentang situasi keadaan premis sembelihan ayam yang diserbu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam di Kampung Cheras Baru.

Seramai 21 orang petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagan DBKL terlibat dalam Operasi Bersepadu Pusat Sembelihan Ayam.

DBKL menerusi kenyataan di Facebook berkata, pusat sembelihan disyaki tidak mempunyai water treatment plant yang sesuai dan air yang digunakan untuk membersihkan ayam serta air tidak diganti secara berkala.

Menerusi serbuan tersebut, penguat kuasa turut mendapati ayam yang diproses diletakkan atas lantai yang kotor.

Bukan itu sahaja, air sisa darah, tulang dan bulu juga dilepaskan terus ke longkang awam.

“Selain beroperasi tanpa lesen perniagaan, kesemua pekerja yang terdiri daripada warga asing juga didapati tidak mendapatkan suntikan typhoid dan tiada sijil pengendali makanan,” katanya.

Justeru itu, sebanyak tiga notis perintah penutupan premis dikeluarkan di bawah UUK 28 (1) Undang-undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, 3 kompaun di bawah Seksyen 47 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, serta 2 kompaun di bawah seksyen 23 (3) (b) dan 3 kompaun di bawah seksyen 33 (3) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 turut dikeluarkan kepada pihak operator.

DBKL turut menyatakan yang kes dirujuk di kepada Jabatan Agama Islam, Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan lanjut.

Author

Pilihan Editor